Kaedah fonik atau bunyi suku kata menekankan penguasaan bunyi suku kata berbanding memperkenalkan huruf-huruf abjad. Dalam kaedah ini, pelajar didedahkan dengan bunyi-bunyi suku kata seolah-olah membaca sifir dalam matematik. Peringkat seterusnya ialah menyambungkan suku kata tersebut untuk menjadi perkataan. Contohnya pelajar diberikan daftar suku kata ba, ca, da, fa, ga, dan daripada suku kata tersebut guru membentuk perkataan baca, baba, daca, faga, dan sebagainya. Melalui hafalan bentuk suku kata ini pelajar boleh membaca dan membunyikan perkataan tersebut.
Kaedah ini sangat sesuai dengan bentuk bahasa Melayu yang fonemis sifatnya, iaitu semua huruf boleh dibunyikan secara tetap. Selain itu kaedah ini membolehkan pelajar mahir membaca lebih awal berbanding kaedah abjad. Namun kaedah ini tidak menggalakkan pembacaan kerana pelajar tidak bermotivasi apabila didedahkan dengan bunyi dan suku kata yang kadang-kadang tidak bermakna.
No comments:
Post a Comment